Friday, February 15, 2008

USIA anjur program khusus untuk saudara baru

MENYEDARI tugas dakwah adalah tanggungjawab semua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) mengambil inisiatif melaksanakan kelas bimbingan khusus untuk saudara baru di seluruh negeri itu menjelang pertengahan Februari ini.

Ia meliputi kelas al-Quran, fardu ain dan fardu kifayah yang akan dimulakan di daerah Papar, kira-kira 60 kilometer dari Kota Kinabalu.

Naib Yang Dipertua USIA, Datuk Nasir Sakaran berkata, kelas itu bertujuan membantu meningkatkan kefahaman saudara baru tentang Islam.

“Pada masa yang sama, kelas itu turut dibuka kepada semua umat Islam yang mahu menimba ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Belia Berwawasan anjuran USIA pusat di Semporna, Sabah, baru-baru ini. Nasir yang juga Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah menegaskan, adalah penting bagi umat Islam menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya hidup.

Ini kerana, dengan ilmu yang dimiliki, umat Islam mampu memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan umat serta merealisasikan hasrat menjadi negara maju seperti yang terkandung dalam Wawasan 2020.

“Bagi mencapai matlamat itu umat Islam perlu melipatganda usaha melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu termasuk ilmu agama, sains, perubatan, teknologi angkasa dan menguasai ilmu teknologi maklumat (IT),” jelasnya.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Semporna, A.M. Ibnu A.K. Baba, Setiausaha Agung USIA Pusat, Abdullah Hussin, Ketua Belia USIA Negeri, Datuk Sairin Karno dan Ketua Bahagian USIA Semporna, Datuk Sapari Amir.

Seminar sehari itu disertai lebih 300 orang belia dan beliawanis terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah seluruh daerah Semporna.

Nasir menambah, selama ini USIA berusaha gigih melaksanakan pelbagai program dakwah dengan memberikan penekanan memberi kefahaman tentang Islam khasnya kepada saudara-saudara baru.

Katanya, pelbagai seminar dan siri lawatan dilaksanakan di daerah tumpuan di seluruh Sabah dengan matlamat menyampaikan ajaran Islam yang syumul kepada ummah.

“USIA juga sedang giat menjalankan gerakan dakwah lebih sistematik dan berkesan dengan memberi tumpuan kepada isu-isu yang boleh merapatkan hubungan dan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini khususnya di Sabah,” jelas beliau.

No comments: