Saturday, November 22, 2008
Mengapa Islam Haramkan Riba?
KEDUDUKAN ekonomi Amerika Syarikat (AS) semakin buruk. Meskipun Washington cuba menutup kedudukan ekonominya, namun data dan fakta sudah lama melaungkan kegagalan ekonomi kapitalis itu.
Dengan kedudukan defisit akaun semasa yang terus pincang, hutang kerajaan yang menggunung, pengangguran yang tinggi, nilai hartanah dan portfolio yang merudum, rakyat AS melihat ekonomi kapitalis yang kononnya menjanjikan seribu satu impian bertukar menjadi ekonomi parasit meratah kekayaan yang ada.
Amerika Syarikat sebenarnya sudah ditelan lubang hitam krisis hutang yang parah, mungkin paling parah dalam sejarah kemanusiaan.
Pelbagai punca dicari bagi menjelaskan krisis yang berlaku. Namun, fakta sebenarnya ialah sistem ekonomi yang berpaksikan riba pasti akan hancur.
Melihat kepada krisis di AS, sesungguhnya benarlah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 276, “Allah susutkan riba dan mengembangkan sedekah”.
Semuanya berpunca daripada kaedah mengembangkan ekonomi dengan menggalakkan pemberian hutang dan hutang itu pula meningkat dari masa ke masa kerana adanya riba. Maka, si kaya yang menyimpan di bank khayal dengan janji kekayaan yang meningkat oleh riba. Di satu pihak lagi, si miskin yang berhutang terus miskin kerana hutang dan beban riba.
Institusi kewangan yang menjadi agen riba ibarat badut yang membaling bebola berwarna. Bebola tersebut ibarat produk-produk kewangan yang menarik. Tangan kanan badut ibarat si kaya dan tangan kirinya ibarat si miskin.
Seorang Muslim di Sweden
|
|
IBRAHIM Karlsson dilahirkan dalam sebuah keluarga berbangsa Sweden yang sederhana, tanpa pegangan agama namun kehidupan mereka sentiasa kaya dengan kasih sayang. Dalam tempoh hayat 25 tahun, tidak pernah langsung terlintas di fikiran Ibrahim tentang kewujudan Tuhan mahupun yang berkaitan kerohanian kerana dia tergolong dalam kategori lelaki materialistik.
Pun begitu, dia masih boleh ingat sebuah cerita imaginasi yang ditulis sewaktu di dalam gred tujuh tentang kehidupan masa depannya, di mana dia membayangkan diri menjadi seorang pengatur cara permainan yang berjaya walaupun langsung tidak pernah menyentuh komputer dan berkahwin dengan seorang wanita Muslim. Pada masa itu yang terlintas tentang Muslim kepadanya hanyalah berpakaian labuh dan menutup kepala.
Kemudian, semasa berada di sekolah menengah, Ibrahim banyak menghabiskan masanya di perpustakaan sekolah sehingga digelar 'ulat buku' dan pernah pada satu masa, dia membaca beberapa terjemahan ayat-ayat suci al-Quran. Beliau dapati bahan yang disebut di dalam kitab itu, semuanya benar dan logik. Sungguhpun begitu, hidayah tidak sampai kepadanya.
Masa terus berlalu dan beliau mula bekerja. Dengan pendapatan yang diperoleh, dia berpindah ke pangsapuri sendiri dan mula meminati salah satu alat di dalam komputer yang mampu merakam pelbagai visual. Minat yang mendalam itu sehingga ke tahap dikira taksub.
Sejak itu, ke mana sahaja dia pergi, telefon berkamera adalah teman setia sepanjang waktu. Pernah dia dimarahi seorang lelaki Muslim imigran kerana merakam gambar emak dan kakak lelaki itu sewaktu berada di pasar. Apa yang terpacul di fikirannya bahawa orang Islam ini pelik.
Malah banyak perkara berkaitan dengan Islam berlaku ke atasnya. Malah dia tidak mempunyai penjelasan tepat bagaimana dia boleh menghubungi Pertubuhan Maklumat Islam di Sweden untuk melanggan buletin dan untuk membeli terjemahan al-Quran karya Yusuf Ali serta sebuah buku berjudul Islam: Our Faith.
Apabila membaca keseluruhan kandungan al-Quran itu memang tidak dapat dinafikan keindahan dan kebenaran isi kandungannya. Namun, Tuhan masih tiada ruang dalam hatinya. Setahun kemudian, sewaktu berada di satu petak tanah yang dipanggil Pretty Island yang memang benar-benar cantik dan sedang asyik merakamkan gambar-gambar warna-warni musim luruh, tanpa dijangka hatinya begitu tersentuh dengan keindahan alam kejadian ciptaan Pencipta dunia ini.
Apa Itu Tawaf Haji?
Tawaf bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak tujuh pusingan bermula dari hajar aswad dan berakhir pada tempat yang sama dengan syarat-syaratnya.
Tawaf haji juga dikenali sebagai tawaf ifadhah. Waktu untuk melakukan tawaf bermula dengan berlalunya separuh malam 10 Zulhijjah. Waktu afdal melakukannya pula adalah pada 10 Zulhijjah setelah melontar Jamratul Kubra dan bergunting.
Syarat-syarat Tawaf
Bagi memastikan tawaf sah jemaah dikehendaki memenuhi beberapa syarat. Syarat-syarat berikut adalah:
*Bermula dan berakhir dari Rukun Hajarul Aswad
*Suci daripada hadas besar dan kecil.
*Menutup aurat.
*Sentiasa mengirikan kaabah semasa tawaf
*Suci Badan, pakaian dan tempat tawaf daripada najis.
*Tawaf mesti dilakukan dalam masjidil haram dan di luar binaan kaabah, Hijir Ismail dan Syazarwan.
*Mengerjakannya semata-mata tujuan tawaf.
*Tawaf mestilah cukup tujuh pusingan.