Tuesday, September 16, 2008

JIM Adakan Majlis Buka Puasa Untuk Mualaf

Bila menyentuh tentang mualaf atau berhadapan dengan mereka, ada semacam stigma di kalangan masyarakat Melayu Islam kita iaitu mereka ini tidak lain, mesti berkehendakkan bantuan.

Hakikatnya, sebagai Muslim kita sewajarnya membantu mereka sama ada dari segi material mahupun sokongan moral. Inilah yang disarankan di dalam ajaran Islam sebagaimana gambaran persaudaraan sesama umat Islam itu umpama sebuah bangunan atau tubuh badan.

Menyedari hal inilah maka pusat sokongan saudara baru, Hidayah Centre, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) akan menganjurkan satu Majlis Berbuka Puasa pada 20 September ini di Dewan Persidangan Utama, Kompleks Perbadanan Putrajaya, sebagai insiatif untuk menyatu dan menghimpunkan golongan mualaf serta menyedarkan mereka terhadap peranan serta tanggungjawab sebagai Muslim sejati.

Sehubungan itu, pengerusi pusat sokongan itu, Nicholas Slyvester @ Muhammad Abdullah amat mengalu-alukan orang ramai untuk membeli kerusi atau meja untuk menjayakan majlis tersebut, sekali gus membantu golongan saudara baru berasa tidak terpinggir malah merasakan diri mereka sebagai sebahagian daripada umat Muslim Malaysia.

“Majlis amal ini adalah kali yang ke empat penganjurannya dan orang ramai boleh menyalurkan sumbangan dengan pembelian kerusi yang berharga RM100 setiap satu manakala RM1000 untuk satu meja.

“Pada majlis itu nanti, pihak kami telah mengatur beberapa aktiviti antaranya, solat Maghrib, persembahan nasyid daripada kumpulan Saff-One, solat Tarawih yang akan dipimpin oleh Dr. Ir. Ustaz Muhammad Fuad Yeoh dan tazkirah daripada bekas paderi Roman Katolik dan pendakwah Rabithah Al Alom Al Islami, Ustaz Ayub Adul Rahman.

“Kita juga mengundang tiga ahli panel dalam sesi forum yang akan mengupas tajuk Ke Arah Memperkasakan Saudara Baru di Malaysia. Mereka ialah Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Muhammad Fuad Yeoh, Ustaz Kamaruddin Abdullah, Presiden IPCI dan pendakwah bebas, Sister Latifah Tamerlane.

“Manariknya lagi, majlis berbuka puasa itu akan mengumpulkan saudara baru yang terdiri daripada pelbagai keturunan, bangsa, budaya, negara dan warna kulit berhimpun sebagai satu keluarga besar dengan konsep ‘saudara baru, saudara kita,” katanya pada sidang media di pejabat JIM, Lorong Selangor, Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, majlis ini merupakan salah satu usaha untuk mengumpul dana bagi membiayai pelbagai aktiviti dakwah dan kemudahan kepada umat Islam khususnya golongan mualaf. Malah ujarnya lagi, sumbangan umat Islam Malaysia dan usaha berterusan pihak Hidayah Centre diyakini dapat membantu memasyarakatkan dan memartabatkan saudara baru ini agar melahirkan generasi saudara baru yang soleh dan musleh.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi pejabat JIM menerusi talian 03-4108 9669 atau melayari laman web kami di alamat www.hidayahcentre.jim.org.my/blog. Bayaran juga boleh dibuat menggunakan slip bank ke akaun CIMB Bank: 14410009820056 di atas nama ‘Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)'.

Oleh itu marilah kita hayati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa yang melepaskan kesukaran seorang Muslim, Allah SWT akan melepaskan satu kesusahannya di hari akhirat. (riwayat Muslim).

sumber

No comments: