Wednesday, February 6, 2008

Al Quran Yang Sempurna

"Seorang pemuda telah tersesat ke suatu kawasan yang sungguh cantik. Dia teruja dengan keindahan taman ibarat syurga. Burung-burung yang berkicauan, pohon-pohon hijau yang mendamaikan, buah-buahan bergantungan, ada pula aliran sungai kecil yang jernih dan menyejukkan pemandangan.

Lelaki itu semakin terpegun melihat di hadapannya tersergam istana dan mahligai indah yang tidak terperi dengan kata-kata. Dek terlalu kagum, tanpa disedari...kakinya melangkah dan membuka pintu lalu masuk ke dalam.

Kehairan dan kekaguman bertambah dan bertambah, dirinya ibarat berada di dalam syurga. Tiang2, tangga, karpet, dinding, hiasan, almari, meja, kerusi, aroma nya... semua itu mencengangkan jiwa pemuda. Dia mencari-cari siapa pemilik dan bagaimana bisa ada keupayaan yang luar biasa menjadikan istana serba indah itu. Di matanya, serba-serbi tidak ada kekurangan. Semuanya rapi dan kena.

Si pemuda terus berjalan membiarkan dirinya menikmati segala keindahan dan kemewahan yang terdapat dalam mahligai serba indah itu. Dari satu tingkat, ke tingkat yang lain. Dari satu ruang ke ruang yang lain. Anehnya dia tidak bertemu sesiapa.

Tiba-tiba, si pemuda ternampak sebuah buku besar. Lebih besar dari dirinya. Dia membuka dengan berhati-hati setiap helaian. Rupanya dalam buku itu terkandung rahsia setiap perkara di dalam dan di luar mahligai itu. Satu halaman hanya menceritakan bagaimana pembikinan dan bahan-bahan yang terkandung dalam tiang-tiang, batu-batu indah dan sebagainya. Begitulah di halaman yang lain, pemuda membaca dan meneliti gambarajah penciptaan dan manual setiap perkara. Kesenian tangga, ukiran, hiasan, wanginnya semua diceritakan dengan terperinci. Bahan-bahan yang digunakan batu yang bagaimana, ukiran yang seunik apa, diimport dari mana dan bermacam-macam lagi.

Si pemuda menjerit gembira. Rupanya buku inilah punca tersergamnya mahligai indah ini. Dia sudah menemui jawapannya. Buku itulah segala-galanya."


Saya memulakan kelas semalam untuk 13 pelajar Kristian Roman Catholic dan Kristian SIB (Sidang Injil Borneo) dengan kisah di atas. Kelas sunyi dan sepi, tidak seperti biasa.

Setelah masing-masing memberi kesimpulan mereka dari apa yang mereka faham, saya pun bercerita. Sesungguhnya kisah ini saya petik dari Rasail Nur oleh Bediuzzaman Said Nursi.

Iktibar dari Kisah

Inilah sebenarnya kekeliruan yang dihadapi oleh pemikiran Sains dan ilmu tanpa Tuhan. Kisah ini sengaja saya kaitkan kerana semalam kami membincangkan teori evolusi (Charles Darwin) dan Teori Big Bang.

Lelaki yang bodoh itu, terus menyandarkan segala yang tersergam di depan mata kepada sebuah buku besar yang ditemui. Kononnya buku itulah punca segala-galanya. Sesungguhnya mahligai agung itu diibaratkan kepada alam semesta ini. Manusia teruja dan tercengang dengan kehebatan alam yang indah berwarna-warni. Manusia kagum dengan segala susun atur dan architecture nya, segalanya rapi dan tepat.

Buku besar itu umpama ilmu yang ditemui oleh manusia. Para saintis seperti Darwin, menemui teori evolusi. Teori evolusi adalah punca segala-galanya. Tidak ada yang mutlak. "Everything is subject to change", Segala-galanya berubah kepada yang lebih baik. Teori "Big bang" juga... big bang juga segala-galanya... Punca kejadian seluruh semesta.

Pemuda bodoh itu terlupa, bahawa buku itu juga sudah semestinya ada insan lain yang menulis, melukis dan menghuraikan setiap perkaranya. Sekiranya "big bang" itu benar, big bang juga termasuk dalam perancangan Allah.

Penutup

Di akhir kuliah mereka datang ke hadapan kelas, "Ustazah, saya rasa "siyok" dalam kelas ni". Saya terfikir apa itu "siyok" rupanya "syok". Rupanya mereka tidak tahu ustazah mereka ini takut untuk masuk ke kelas ini. Baru saya teringat, apabila bercerita tentang Islam, saya jelaskan betul-betul. Saya tidak mahu mereka berdendam atau benci. Mereka tidak tahu apa-apa tentang Islam. Tetapi dalam kelas ini, saya mesti bercerita tentang Islam.

Saya menceritakan tentang Injil dan Qur'an. Saya menyebut tentang Marry dan Jesus (Mariyam dan Isa). Saya bersyukur, semasa di UIA saya telah dididik oleh Prof. Dr. Kamar Oniah pakar Perbandingan Agama. Semasa di UIA saya belajar tentang Kristian, Yahudi, Hindu, Budha, Sikh dan beberapa dogma lagi. Jazakumullah khair al-jaza' buat Dr. Kamar Oniah Kamaruzzaman.

Saya bercerita tentang Qur'an. Mereka sungguh tidak sangka bahawa Qur'an di dalam Bahasa Arab. Saya juga membacakan al-Fatihah, ketika itu ingin menitis air mata saya. Meremang bulu roma, kelas seperti beku. Habis saja membaca al-Fatihah... mereka bertepuk tangan sekuat-kuatnya.

"Tuhanku, sesungguhnya kalamMu mengandungi mukjizat tertinggi. Izinkan aku membacanya kepada mereka di setiap kali kelasku. Sudah tentu segala kelemahanku yang ada membuatkan aku malu. Tetapi aku menjadi yakin apabila disandarkan kepada Kalam Mu yang Abadi dan Azali. Pimpinlah aku, wahai Tuhan."

sumber
Tajuk asal: Pemuda Bodoh

No comments: