Friday, February 15, 2008

Kursus Imam-imam Dari Negara China di Malaysia

UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) meraikan seramai 30 imam muda dari negara China pada satu majlis penutup Kursus Imam Muda Negara China, baru-baru ini.

Kursus yang telah berlangsung selama sebulan ini bermula dari 12 Oktober hingga 17 November 2007. Para peserta berasal dari beberapa daerah di China iaitu Gansu, Qinghai, Henan, Yunnan, Sichuan dan lain-lain.

Sepanjang kursus tersebut, mereka bukan sahaja didedahkan dengan ilmu-ilmu teori tetapi pada setiap Sabtu dan Ahad, para peserta akan mengadakan aktiviti luar yang dianjurkan oleh pihak Persatuan Cina Muslim Malaysia atau (MACMA).

Pada tahun lepas, USIM telah berjaya menganjurkan kursus selama sebulan untuk imam-imam muda negara China juga seramai 30 orang. Penganjuran kali kedua ini membuktikan komitmen USIM dalam memberi sumbangan kepada umat Islam di seluruh dunia.

USIM merupakan salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dipilih untuk kursus ini memandangkan USIM sebagai sebuah IPTA Islam di Malaysia yang dilihat mampu memberikan kursus yang amat berkesan. Apatah lagi, pengajaran dan pembelajaran di USIM yang menggunakan medium bahasa Arab dan Inggeris dilihat amat penting untuk dikongsi bersama dengan peserta-peserta kursus.

Malah dengan kerjasama dari MACMA, maka kursus latihan untuk imam-imam muda negara China diadakan di Malaysia selama 6 bulan di beberapa buah IPT lain iaitu; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Darul Iman (UDM), Kolej Insaniyyah dan Kolej Teknologi Islam Melaka.

Kursus ini diadakan untuk melahirkan golongan imam dari China yang mampu menguasai bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam dengan baik. Di samping itu, dapat melahirkan golongan imam yang berketerampilan dan berdaya saing serta mampu menyelesaikan permasalahan semasa yang berlaku di kalangan masyarakat.

sumber

No comments: