Monday, July 7, 2008

Islam Semakin Bersinar di Korea

PERKEMBANGAN Islam di Korea kini cukup memberangsangkan walaupun penduduknya yang berjumlah kira-kira 49 juta itu menganuti pelbagai agama dan kepercayaan.

Kemunculan sinar Islam itu jelas dilihat dengan pembinaan masjid-masjid dan surau-surau di bandar-bandar besar dan ceruk rantau negara itu sejak kebelakangan ini.

Apa yang jelas dakwah yang dijalankan oleh para imam terdahulu dan sekarang berjaya menyedarkan masyarakat Korea untuk memeluk agama Islam dengan rela hati.

Menurut sejarah, Islam mula bertapak di Korea sejak 58 tahun lalu iaitu semasa negara itu berada dalam kancah peperangan. Pada ketika itu Korea sangat miskin dan rakyatnya berada dalam kesusahan.

Justeru, melalui dakwah yang dilakukan dua anggota tentera Turki iaitu Zubercoch dan Abdul Rahman yang ditugaskan mengawasi proses damai di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berjaya menarik minat segelintir rakyat Korea yang tinggal di kem-kem pelarian memeluk Islam pada masa itu.

Ini adalah pengorbanan besar dua perajurit Turki itu yang sukar dilupakan oleh masyarakat Islam Korea kerana mereka mendapat hidayah serta ketenangan dalam hidup yang ketika itu penuh dengan kesengsaraan.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Agung Persekutuan Islam Korea (KMF), Ahmad Cho Min-Haeng ketika ditemui di Seoul baru-baru ini menjelaskan, perkembangan agama Islam di Korea kini cukup membanggakan apabila 10 masjid berjaya didirikan selain lebih 50 surau di seluruh negara.

Jumlah penganut Islam di Korea Selatan adalah sekitar 100,000 orang. Penduduknya yang tidak beragama pula adalah 49.3 peratus iaitu berdasarkan bancian tahun 1995. Penganut Buddha pula mewakili 23 peratus daripada jumlah penduduknya.

seterusnya

Kelebihan Saintifik Sembahyang Orang Islam

HUBUNGAN ibadah solat secara rohaniah ditekankan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis serta buku-buku ilmiah. Betapa solat itu merupakan tiang agama dan diwajibkan ke atas umat Islam.

Bagaimanapun perkaitan ibadah solat secara saintifik seperti kesan pergerakan dalam setiap rakaat terhadap kesihatan tubuh badan masih terlalu sempit perbincangannya secara umum.

Hakikatnya, pada setiap pergerakan solat itu seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat awal serta tahiyat akhir, tersembunyi pelbagai misteri saintifik terhadap kesihatan.

Misteri itulah yang cuba dirungkaikan menerusi buku ini dengan memberi penekanan kepada komponen sains kesihatan seperti komposisi badan, denyutan jantung, pinggang, otak, otot dan disfungsi ereksi (mati pucuk).

Menariknya buku ini, ia terhasil daripada cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri yang mahu melihat sebuah kajian dijalankan bagi membongkar kelebihan solat dari sudut saintifik.

Kajian itu kemudiannya dijalankan oleh tiga orang saintis dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim, Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri.

seterusnya