Saturday, December 1, 2007
Masjid Baiturrahman Acheh Banyak Sejarah
Oleh Hasliza Hassan
MASJID Raya Banda Aceh, Baiturrahman yang masih utuh dan menjadi tempat perlindungan paling selamat ketika kejadian ombak besar tsunami 26 Disember tahun lalu menjadi bukti kekukuhan Islam di Banda Aceh.
Sejak pertama kali dakwah tiba dan berakar umbi di rantau ini pada kurun ke-7, Masjid Raya Baiturrahman menyaksikan banyak detik sejarah berlaku yang kini terus menjadi kenangan penduduk di sekitarnya.
Masjid yang teguh berdiri hingga hari ini pada mulanya dibina oleh Sultan Alaiddin Mahmud Shah pada tahun 691 hijrah atau kira-kira 700 tahun lalu.
Ia menjadi mercu kegemilangan kerajaan Islam Aceh Darussalam yang dibina oleh Sultan Johan Shah pada Jumaat, 1 Ramadan 601 hijrah bersamaan 22 April 1205.
Kerajaan Islam Aceh Darussalam adalah penerus daripada beberapa kerajaan Islam yang berkembang pesat sebelumnya, seperti kerajaan Islam Perlak yang juga kerajaan Islam pertama di Asia Tenggara.
Kerajaan itu diasaskan Sultan Alaiddin Shah pada 1 Muharam tahun 225 hijrah atau sekitar tahun 830 masihi, diikuti kerajaan Islam Samudera Pasai dan beberapa kerajaan lainnya.
Pada era pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Masjid Baiturrahman melalui zaman kegemilangan bukan saja sebagai tempat beribadah, malah menjadi pusat pendidikan, khususnya dalam ilmu agama.
Jika di Mesir, Masjid Al-Azhar menempatkan universiti pertama dunia, di Aceh, Masjid Baiturrahman adalah universiti pertama di Nusantara dengan 17 dar atau fakulti dalam pelbagai bidang.
Pensyarahnya didatangkan dari beberapa negara Arab, Turki, Parsi dan India, manakala pelajarnya pula dari hampir seluruh pelosok Nusantara.
Di samping, menyaksikan zaman kegemilangan Islam, masjid itu pernah melalui suasana suram seperti yang pernah berlaku pada kerajaan Aceh ketika dipimpin beberapa sultanah atau raja perempuan.
Pada akhir pemerintahan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin, satu kelompok kaum sufi yang dinamakan kelompok wujudiyah melakukan pemberontakan ingin merebut kuasa di Aceh.
Bagaimanapun, pemberontakan itu berjaya digagalkan menyebabkan pemberontak tidak berpuas hati hingga membakar kota Banda Aceh dan beberapa bangunan penting di bandar itu termasuk Masjid Baiturrahman.
Selepas pemberontakan dipadamkan, kota Banda Aceh dibangun kembali dan bahagian Masjid Baiturrahman yang hangus dibaik pulih serta kembali berfungsi seperti sedia kala.
Peristiwa paling tragik menimpa masjid itu berlaku pada 1873 ketika Belanda mengisytiharkan perang secara rasmi ke atas Aceh dan Masjid Baiturrahman menjadi medan tempur yang sengit di antara tentera kompeni (Belanda) dan rakyat Aceh.
Slogan jihad yang dilaungkan oleh tentera Aceh ‘Udep Sare Mate Syahid’ (Hidup Mulia Mati Syahid) berjaya mengundurkan tentera Belanda sehingga mereka terpaksa mengambil pendekatan halus menundukkan Aceh.
Menghadapi tentangan rakyat Aceh yang gigih dan berani, membuat Belanda kehilangan akal waras mereka hingga dalam satu pertempuran, askar penjajah membakar Masjid Baiturrhaman.
Tidak cukup dengan membakar masjid yang menjadi simbol kemegahan Islam di Aceh, penjajah Belanda mengganti nama Banda Aceh yang juga ibu kota Aceh dengan Kota Raja (Kutaraja).
Bagaimanapun masjid itu dibangunkan semula oleh Belanda dan arkitek berketurunan Itali, De Brun, memberi wajah baru dengan memperkenalkan seni bina Moghul menjadikan Masjid Baiturrahman, masjid terindah di Nusantara.
Belanda cuba memberi isyarat bahawa mereka sedia membuka ruang kepada orang Aceh beribadah, namun ia tidak memadai kerana peristiwa masjid dibakar penjajah terus terpahat dalam ingatan masyarakat Islam Aceh.
Masjid itu berjaya ditawan Belanda tetapi ia berjaya dirampas semula pejuang Aceh pada malam hari yang sama.
Empat hari selepas itu, Panglima Angkatan Perang Belanda, Mejar Jeneral J H R Kohler mengerahkan seluruh tenteranya hingga berjaya kembali menduduki masjid berkenaan.
Bagaimanapun, ketika kemenangan disangka dalam genggamannya, Kohler terbunuh di pekarangan masjid berkenaan dan ia memaksa Belanda berundur.
Selepas, kemerdekaan Indonesia, pada 9 Mei 1963 nama Kota Raja dikembalikan kepada Banda Aceh.
Masjid Baiturrahman juga diperbesar, diperindah dan diperluaskan kira-kira 3.5 hektar manakala kubah masjid ditambah daripada dua kepada lima berserta dua menara selain diperindahkan dengan 282 tiang besar dan kecil.
Masjid Raya Baiturrahman membuktikan keutuhan strukturnya, kejuruteraan serta seni bina alaf silam yang mampu bertahan walau dilanda gempa dan ombak besar.
Manakala mereka yang mempercayai keajaiban tuhan, Masjid Baiturrahman dan beberapa masjid lain di bumi Aceh antara bukti kekuasaan Allah, menyelamatkan rumah-Nya dan mereka yang berlindung di bawah bumbungnya.
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/
Saturday/Agama/20051111221135/Article/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment