Oleh: MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
AGAMA dalam bahasa Arab disebut din. Selain bererti agama, kata din juga bererti yakin dengan “kekuasaan”, “ketundukan”, “kepatuhan”, “balasan”, “peraturan” dan “nasihat”. Agama memang mengandung peraturan dan hukum yang harus dipatuhi manusia. Agama mempunyai kekuasaan yang membuat manusia tunduk dan patuh kepada Tuhan. Orang yang tunduk dan patuh kepada Tuhan akan mendapat balasan baik daripada Tuhan, sementara yang tidak patuh akan mendapat balasan buruk daripada Tuhan.
Meskipun kini ilmu pengetahuan dan teknologi berkembang dengan pesat, manusia tetap memerlukan agama. Ilmu pengetahuan dan teknologi tidak dapat memberi jawapan atas pertanyaan mengenai makna dan tujuan hidup manusia, yang hanya boleh dijawab oleh agama.
Ini bererti bahawa manusia, meskipun diberi kemampuan akal untuk dapat memikirkan dan mengatur kehidupannya, tidak dapat sepenuhnya mencapai kehidupan yang teratur tanpa adanya peraturan-peraturan agama. Hal ini disebabkan bahawa akal mempunyai keterbatasan tertentu dan tidak mungkin mencapai keseluruhan kebenaran yang ada, sementara peraturan-peraturan agama, kerana diturunkan oleh Allah s.w.t. sebagai pencipta manusia, dapat menunjukkan kebenaran-kebenaran yang hakiki, yang mungkin tidak dapat dijangkau oleh akal fikiran manusia.
Ketika ini kecenderungan manusia moden untuk kembali kepada agama semakin kuat. Kekhuatiran bahawa agama akan ditinggalkan ternyata tidak terbukti. Agama tetap diperlukan oleh manusia sepanjang masa. Terdapat pelbagai motivasi yang membuat manusia memeluk sesuatu agama. Manusia juga memerlukan penjelasan atas pertanyaan mengenai makna, asal dan tujuan hidup. Jawapan terhadap semua itu hanya dapat diperoleh daripada agama.
Dahulu banyak pemikir yang meramalkan bahawa agama akan rosak kerana sudah tidak diperlukan lagi oleh manusia moden yang telah begitu maju dalam bidang ilmu pengetahuan dan teknologi. Kemudian muncullah orang yang mengingkari adanya Tuhan, yang disebut kaum ateis.
Bagaimanapun, kekhuatiran bahawa agama akan ditinggalkan oleh manusia moden ternyata tidak benar. Sejak beberapa dasawarsa terakhir terjadi kebangkitan agama-agama hampir di seluruh dunia, yang ditandai antara lain dengan semakin meningkatnya kunjungan ke tempat-tempat ibadah, ceramah-ceramah agama dan penerbitan buku-buku agama.
Pandangan seseorang terhadap agama ditentukan oleh pemahamannya terhadap ajaran agama itu sendiri. Ketika pengaruh gereja di Eropah menindas para ilmuwan akibat penemuan mereka yang dianggap bertentangan dengan kitab suci, para ilmuwan akhirnya menjauhi daripada agama bahkan meninggalkannya.
Persoalan yang menjadi topik perbicaraan kita mahu tidak mahu akan terus muncul. Apakah agama masih relevan dengan kehidupan masa kini yang cerminannya sebagaimana digambarkan di atas? Sebelum menjawabnya, perlu terlebih dahulu dijawab: Apakah manusia dapat melepaskan diri daripada agama? Atau adakah alternatif lain yang dapat menggantikannya?
Dalam pandangan Islam, keberagamaan adalah fitrah sesuatu yang melekat pada diri manusia dan terbawa sejak kelahirannya. Oleh kerana agama adalah fitrah atau sesuai dengan jati diri, maka ia pasti dianuti oleh manusia, kalaupun bukan sejak muda, namun menjelang akhir usianya.
Firaun yang derhaka dan merasakan dirinya sebagai Tuhan pun pada akhirnya bertaubat dan ingin beragama tetapi sayang kerana sudah terlambat. Oleh kerana agama adalah fitrah, maka ia tidak boleh dan tidak perlu dipaksakan. Mengapa harus memaksa? Tuhan tidak perlu pada paksaan dan akhirnya pun Dia dan agama-Nya diakui. Bukankah agama itu fitrah?
Ini bererti manusia tidak dapat melepaskan diri daripada agama. Tuhan menciptakan demikian kerana agama merupakan keperluan hidup. Memang manusia dapat menangguhkannya sedemikian lama, barangkali hingga menjelang kematiannya. Tetapi pada akhirnya, sebelum roh meninggalkan jasad, ia akan berasa betapa pentingnya keperluan itu.
Keperluan manusia terhadap air dapat ditangguhkan lebih lama jika dibandingkan dengan keperluan udara. Begitu juga keperluan manusia terhadap makanan jauh lebih singkat dibandingkan dengan keperluan manusia untuk menyalurkan naluri seksual. Demikian juga keperluan manusia terhadap agama dapat ditangguhkan tetapi tidak untuk selama-lamanya.
William James menegaskan bahawa selama manusia masih memiliki naluri cemas, bimbang mengharap, selama itu pula ia beragama (berhubungan dengan Tuhan). Itulah sebabnya mengapa perasaan takut merupakan salah satu dorongan yang terbesar untuk beragama.
Murtadha Muthahhari pula menjelaskan, sebahagian fungsi dan peranan agama dalam kehidupan ini tidak mampu dimainkan oleh ilmu dan teknologi. Jelasnya, ilmu mempercepatkan kita kepada tujuan. Agama menentukan arah yang dituju. Ilmu menyesuaikan manusia dengan lingkungannya dan agama menyesuaikan dengan jati dirinya. Ilmu adalah hiasan lahir dan agama hiasan batinnya. Ilmu memberikan kekuatan dan menerangi jalan, manakala agama memberi harapan dan dorongan bagi jiwa.
Ilmu menjawab pertanyaan yang dimulai dengan bagaimana dan agama menjawab yang dimulai dengan mengapa. Ilmu selalu mengeruhkan fikiran pemiliknya sedangkan agama selalu menenangkan jiwa pemeluknya yang tulus. Bukankah kenyataan hidup masyarakat Barat membuktikan hal tersebut?
Manusia merangkumi akal, jiwa dan jasmani. Akal atau rasional ada wilayahnya. Tidak semua persoalan boleh diselesaikan atau bahkan dihadapi oleh akal. Karya seni tidak dapat dinilai semata-mata oleh akal kerana yang lebih berperanan di sini ialah kalbu.
Dalam hubungannya dengan pengembangan ilmu pengetahuan dan teknologi, agama sesungguhnya sangat berperanan, terutama jika manusia tetap ingin menjadi manusia. Ambillah contoh bidang bioteknologi. Ilmu manusia sudah sampai kepada batas yang menjadikannya dapat melakukan (merencana atau melaksanakan) genetik.
Apakah keberhasilan ini akan dilanjutkan sehingga menghasilkan makhluk-makhluk hidup yang dapat menjadi tuan bagi penciptanya sendiri?
Apakah ini baik atau buruk? Yang dapat menjawabnya adalah nilai-nilai agama dan bukan seni bukan pula falsafah. Bahkan segala kecanggihan kajian terbaru akan lebih melahirkan (menampakkan) kekuasaan Allah. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: Akan Kami perlihatkan tanda-tanda (kebesaran ) Kami di ruang angkasa lepas sehingga terbukti bagi mereka bahawasanya Dialah (Tuhan) yang sebenar. (surah Fussilat ayat 53).
Demikian apa yang diluahkan oleh angkasawan pertama negara Dr. Sheikh Muzaphar Shukur apabila pertama kali melihat bumi dari angkasa lepas perkara pertama yang terlintas dalam ingatannya ialah tentang kekaguman terhadap kebesaran Allah Yang Maha Esa.
Jika demikian, maka tidak ada alternatif lain yang dapat menggantikan agama. Mereka yang mengabaikannya terpaksa menciptakan agama baru demi memuaskan jiwanya. Bagaimanapun, jiwa tanpa agama adalah jiwa yang telah mati sebelum berkunjungnya kematian yang sebenar.
- Penulis ialah Pengurus Penyelidik Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=
2007&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm
Sunday, November 18, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment