RAHSIA lebah dan madu yang menjadi inti pati episod dua siri Ilmuwan Islam yang ditayangkan di TV3 setiap Jumaat, 7.30 malam, mengajak penonton berkenalan dengan tokoh kebanggaan Islam dulu serta ulama terkenal Mesir hari ini.
An-nahal atau lebah, nama yang dijadikan surah dan disebut kisahnya dalam al-Quran memiliki banyak keistimewaan hingga menarik minat seorang ilmuwan Islam untuk membuat kajian mendalam mengenai serangga yang menghasilkan madu itu.
Beliau ialah Al-Jahiz atau nama penuhnya Abu Uthman Amru ibnu Bahar al-Basri, dilahirkan pada 776 Masehi di Basrah, Iraq, berasal daripada keluarga miskin dan menyara hidup keluarga dengan menjual roti. Beliau digelar al-Jahiz kerana keluasan ilmu dan ketajaman matanya.
Al-Jahiz adalah ilmuwan Islam yang dikagumi kerana cintanya yang tidak berbelah bagi dalam menimba ilmu pengetahuan. Beliau belajar membaca dan menulis atas galakan ibu yang pernah memberikan 'sedulang' kertas nota dan memberitahu kertas itu boleh menyara hidupnya kelak.
Kepakaran beliau lebih menonjol dalam bidang ilmu haiwan berdasarkan buku karangannya. Al-Jahiz menulis lebih 200 naskhah buku meliputi bidang zoologi, tata bahasa Arab, puisi dan kamus. Beliau saintis Islam yang menulis mengenai saintifik dan subjek kompleks untuk orang kebanyakan.
Hasil kerja Al-Jahiz yang terpenting ialah Book of Animals iaitu Kitab al-Hayawan, mengandungi tujuh jilid yang edisinya dicetak. Ia mengandungi maklumat saintifik penting dan jangkaan konsep nombor yang hanya dibangunkan sepenuhnya pada separuh abad ke-20.
Kitab al-Hayawan antara buku terawal yang menyentuh mengenai haiwan atau zoologi. Walaupun sebelum ini sudah ada ulama menghasilkan karya yang sama tetapi ia tidak selengkap yang ditulis al-Jahiz.
Contohnya, Ibnu Qutaibah pernah menulis mengenai al-ibil (unta) dan ada yang menulis kisah al-hammam (merpati) tetapi al-Jahiz dalam buku al-Hayawan menulis semua jenis binatang yang ada di negara Arab.
Dalam buku itu, Al-Jahiz membincangkan perkara mengenai peniruan haiwan iaitu sesetengah parasit menyesuaikan warnanya mengikut haiwan yang ditumpanginya.
Beliau juga menulis panjang lebar mengenai pengaruh cuaca dan amalan pemakanan manusia serta tumbuhan dan haiwan yang hidup di persekitaran geografi serta kawasan yang berbeza.
BERITA HARIAN 22 NOV 2007
No comments:
Post a Comment