Thursday, November 22, 2007

Mohd Farhan Abdullah Pilih Islam

Oleh ZUARIDA MOHYIN


MOHD. FARHAN ABDULLAH AL-HAFIZ.

PENULIS terpanggil untuk menemu bual lelaki bertubuh kecil kelahiran Kota Belud, Sabah ini selepas secara tidak sengaja terdengar suaranya menerusi satu program yang ke udara di IKIM.fm.

Pada masa itu, beliau diminta berkongsi kisah pengislaman, cabaran bergelar mualaf, penglibatan aktif beliau dengan kerja-kerja dakwah dan membantu golongan saudara baru, terutamanya di Sabah.

Tanpa melengahkan masa, penulis terus menghubunginya selepas memperoleh talian telefon bimbitnya. Biarpun sibuk, kesediaan Mohd. Farhan Abdullah al-Hafiz, 39, iaitu Penasihat Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Bestari (PPTQB) yang beroperasi di Serdang, Selangor meluangkan masa, apatah lagi melihat jadual hariannya yang sentiasa padat dengan undangan tazkirah sepanjang bulan Ramadan, amatlah penulis hargai.

Lantaran memahami kesibukannya itu juga, kami (penulis dan jurufoto) akur apabila pemuda berketurunan Kadazan ini terlewat daripada waktu yang dijanjikan.

Menurut Mohd. Farhan ataupun sebelum ini bergelar Paster Yohanes, sebagai anak kepada seorang ketua kepada 15 buah gereja, sudah pastilah dia memiliki latar belakang pendidikan beraliran Kristian yang mantap. Beliau mengikuti latihan ketua mubaligh Kristian selama dua tahun dengan melibatkan diri secara aktif aktiviti dakyah Kristian sebelum melanjutkan pengajian menguasai bahasa Ibrani di Bandung, Indonesia.

“Sungguhpun telah mengusai kesemua ilmu agama Kristian, dua persoalan yang sering bermain fikiran saya iaitu; tentang konsep Trinity dan Majlis Pengampunan Dosa yang disebut Baptis,” ceritanya mengimbas kisah lebih 15 tahun lalu.

Mohd. Farhan yang memeluk Islam pada 26 Februari 1990 di Pusat Latihan Dakwah Keningau, Sabah berkata, dia mula tertarik kepada Islam semasa belajar di Institut Teknologi Mara, cawangan Sabah (sekarang UiTM). Kenyataan seorang pensyarah subjek Pelajaran Islam tentang tuhan Allah tidak sama dengan tuhan agama lain agak memanaskan telinga dan hatinya.

“Jadi inilah peluang saya berhujah, apabila mengetahui beliau juga mahir tentang masalah perbandingan agama termasuklah dalam masalah Teologi.

“Pada masa sama juga, saya mempunyai teman sebilik yang rajin mengaji al-Quran. Kalau sebelum ini, setiap kali terdengar azan sama ada di radio atau televisyen, saya akan cepat-cepat mematikannya. Tetapi semuanya berubah selepas sentiasa diperdengarkan dengan bacaan al-Qurannya yang begitu baik bacaannya dan menusuk kalbu.

“Selain itu, saya juga tertarik dengan akhlaknya. Dia begitu menjaga masanya terutamanya dalam urusan agama. Kami selalu berhujah, dan dia selalu membawa saya bertemu seorang ustaz untuk menyelesaikan dua persoalan yang selama ini terbuku di hati.

Mimpi luar biasa

“Hasil perdebatan, pengkajian dan penelitian tanpa paksaan dan bukan pula kerana inginkan habuan dunia, saya mula tertarik dengan Islam,” tegas Mohd. Farhan ‘mimpi luar biasa’ yang dialami sewaktu bermalam di rumah ustaz menjadi pembuka jalan kepada pengislaman.

Akui beliau lagi, cabaran yang dihadapi selepas bergelar Muslim memang berat dan perit. Apa tidaknya, dia bukan sahaja terputus subsidi keluarga tetapi telah dihalau dari rumah, tidak diakui anak dan hampir-hampir terkena peluru hidup milik senapang bapa yang tersasar bidikan.

Pun begitu, sebelum meninggalkan keluarga, anak kedua daripada enam adik-beradik ini berazam untuk membawa bersama keseluruhan ahli keluarganya kepada Islam. Malah, beliau tidak menjadikan agama sebagai penghalang memutuskan ikatan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa.

“Selepas sahaja mengucap syahadah saya berhijrah ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Kuala Lumpur, sebelum belajar agama di Perkim Pengkalan Chepa Kelantan (1991-1993), Nilam Puri (1994) Pondok (1995), mengambil Diploma Tahfizul Quran di Pusat Islam (1996-1998) dan pada 2000 hingga 2003 berada di Shoubra al-Azhar, Mesir dalam jurusan al-Quran dan Qiraati.

“Selama membawa diri, saya tidak pernah putus-putus berdoa, bersolat hajat, bertanya khabar serta menghantar kitab-kitab berkaitan Islam agar Allah ‘melembutkan’ hati keluarga untuk menerima Islam.

“Alhamdulillah, selepas lapan tahun, doa saya dimakbulkan Allah. Sekarang seluruh ahli keluarga saya menerima Islam. Apa yang saya alami sebelum ini, begitulah juga dialami oleh ayah,” katanya yang telah mengislamkan lebih 2,000 orang dari pelbagai kaum.

Katanya lagi, ayahnya kini senang dengan kehidupan yang sederhana, cukup makan, senang beribadat meskipun sering cuba ‘dipikat’ dengan bermacam-macam bentuk kemewahan dan ganjaran oleh pihak-pihak tertentu supaya kembali kepada agama asal.

“Malah dia juga mewakafkan tanahnya untuk pembinaan masjid dan madrasah sebagai tempat pengajian golongan mualaf,” kata Mohd. Farhan yang menubuhkan Pusat Pengajian Ilmu-ilmu Islam al-Azhar Sabah (PUPIS) bersama beberapa orang sahabat. Mereka melaksanakan Program Dakwah Bergerak secara sukarela di Sabah dan Sarawak.

Mengulas tentang peranannya sebagai pengasas PPTQB, katanya ia ditubuhkan untuk membasmi buta huruf al-Quran dan memperkenalkan pelajaran Jawi dan bahasa Arab serta asas-asas agama di peringkat kanak-kanak. Para pelajar di sini sebahagiannya mengikuti pengajian Pra Tahfiz (4-6 tahun), Tahfiz (7-17 tahun) dan Umumi iaitu terbuka kepada orang dewasa.

Selain menguruskan pusat tahfiz, Mohd. Farhan turut giat menyampaikan maklumat tentang gerakan kristianisasi yang begitu membimbangkan. Harapan beliau juga, semoga umat Islam menjaga iman dan Islam terutamanya generasi muda-mudi yang merupakan sasaran utama mereka.

Baginya, semua pihak tidak perlu menuding jari menyalahkan satu sama lain apabila anak-anak mereka terlibat dengan kerja-kerja yang dilarang Islam. Satu formula saranannya ialah kembali menghayati al-Quran menerusi kempen yang dikenali satu rumah satu hafiz atau hafizah. Ia boleh dilakukan menerusi buku, Kaedah Sistematik Penghafazan al-Quran Jilid 1 & 2.

Tambah Mohd. Farhan, manusia tidak perlu kepada agama lain kerana syarat bagi agama yang sebenar ialah; Pertama, agama itu menyembah kepada Allah dan Allah tidak boleh dinisbahkan kepada makhluk atau benda lain. Kedua, agama itu mempunyai undang-undang yang berbentuk kitab yang meliputi bidang kehidupan secara terperinci dan dipakai dari dahulu hingga sekarang serta tidak berubah-ubah.

Pada kesempatan ini juga Mohd. Farhan menyeru bantuan sumbangan orang ramai untuk mendirikan bangunan bagi kerja-kerja dakwah.

Beliau boleh dihubungi menerusi talian 019-2666 323 atau 03-8942 3624. No akaun Bank Islam: 12-029-01-003493-7 atau Maybank: 5122-68-40494-7 di atas nama Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Bestari.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt

=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=

Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Ilmuwan Islam: Al-Jahiz Pengkaji Lebah, Madu



RAHSIA lebah dan madu yang menjadi inti pati episod dua siri Ilmuwan Islam yang ditayangkan di TV3 setiap Jumaat, 7.30 malam, mengajak penonton berkenalan dengan tokoh kebanggaan Islam dulu serta ulama terkenal Mesir hari ini.

An-nahal atau lebah, nama yang dijadikan surah dan disebut kisahnya dalam al-Quran memiliki banyak keistimewaan hingga menarik minat seorang ilmuwan Islam untuk membuat kajian mendalam mengenai serangga yang menghasilkan madu itu.

Beliau ialah Al-Jahiz atau nama penuhnya Abu Uthman Amru ibnu Bahar al-Basri, dilahirkan pada 776 Masehi di Basrah, Iraq, berasal daripada keluarga miskin dan menyara hidup keluarga dengan menjual roti. Beliau digelar al-Jahiz kerana keluasan ilmu dan ketajaman matanya.


Al-Jahiz adalah ilmuwan Islam yang dikagumi kerana cintanya yang tidak berbelah bagi dalam menimba ilmu pengetahuan. Beliau belajar membaca dan menulis atas galakan ibu yang pernah memberikan 'sedulang' kertas nota dan memberitahu kertas itu boleh menyara hidupnya kelak.

Kepakaran beliau lebih menonjol dalam bidang ilmu haiwan berdasarkan buku karangannya. Al-Jahiz menulis lebih 200 naskhah buku meliputi bidang zoologi, tata bahasa Arab, puisi dan kamus. Beliau saintis Islam yang menulis mengenai saintifik dan subjek kompleks untuk orang kebanyakan.

Hasil kerja Al-Jahiz yang terpenting ialah Book of Animals iaitu Kitab al-Hayawan, mengandungi tujuh jilid yang edisinya dicetak. Ia mengandungi maklumat saintifik penting dan jangkaan konsep nombor yang hanya dibangunkan sepenuhnya pada separuh abad ke-20.


Kitab al-Hayawan antara buku terawal yang menyentuh mengenai haiwan atau zoologi. Walaupun sebelum ini sudah ada ulama menghasilkan karya yang sama tetapi ia tidak selengkap yang ditulis al-Jahiz.

Contohnya, Ibnu Qutaibah pernah menulis mengenai al-ibil (unta) dan ada yang menulis kisah al-hammam (merpati) tetapi al-Jahiz dalam buku al-Hayawan menulis semua jenis binatang yang ada di negara Arab.

Dalam buku itu, Al-Jahiz membincangkan perkara mengenai peniruan haiwan iaitu sesetengah parasit menyesuaikan warnanya mengikut haiwan yang ditumpanginya.

Beliau juga menulis panjang lebar mengenai pengaruh cuaca dan amalan pemakanan manusia serta tumbuhan dan haiwan yang hidup di persekitaran geografi serta kawasan yang berbeza.

BERITA HARIAN 22 NOV 2007

Mejar Mohd Khairi Yap Abdullah Pilih Islam Setelah Mengkaji


Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM


MOHD. KHAIRI YAP ABDULLAH.
Akhbar Utusan Malaysia 22 Nov 2007

WAHYU pertama yang diturunkan Allah s.w.t kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w melalui malaikat Jibril pada malam 17 Ramadan ialah Iqra’ (Bacalah) yang memberi signifikan kepentingan menuntut dan menimba ilmu pengetahuan.

Bermula daripada detik itulah, kehebatan Islam terus gemilang dengan membawa rahmat ke seluruh pelosok dunia sehingga menyinarkan zaman kegelapan yang dihadapi oleh bangsa Arab dan penganut agama Islam lain.

Signifikan daripada mukjizat agung itu telah mencorakkan tamadun dunia dengan pelbagai penemuan inovasi dan teknologi yang tiada tolok bandingnya.

Bagi Mejar Mohd. Khairi Yap Abdullah, 44, perkara itu tidak pernah disedari olehnya kerana beliau tidak pernah didedahkan mengenai kemuliaan ajaran Islam. Sementelahan pula anak kelahiran Mentakab, Pahang itu sejak dilahirkan sehingga 29 tahun beragama Kristian dan dibesarkan dalam persekitaran agama berkenaan yang begitu kuat dan menebal.

Kalaupun ada maklumat mengenai agama Islam yang diketahuinya, ia adalah terlalu sedikit dan kononnya ajarannya pula terpesong daripada landasan sebenar - mengikut doktrin Kristianisasi.

Selama 29 tahun menganut Kristian, Islam yang diketahuinya mengandungi pelbagai kekurangan dan cukup sinonim dengan elemen keganasan di kalangan penganutnya demi mencapai matlamat penyebaran dakwah.

Bagaimanapun, sudah menjadi fitrah kepada manusia yang sempurna akalnya untuk mencari kepastian dan kebenaran di atas setiap persoalan yang timbul mengenai agama yang dianutinya dan juga agama yang ‘diperhodohkan’ iaitu Islam.

Semangat mencari kebenaran itu semakin menebal apabila beberapa kekeliruan dan kemusykilan yang timbul di dalam agama yang dianutinya gagal dijawab secara logik dan realistik.

Justeru, perasaan was-was dan curiga mula timbul di benak fikiran dan jauh di sudut hati Mohd. Khairi atau nama asalnya sebelum ini, Yap Mon Fong terhadap kesucian dan kebenaran agama berkenaan.

“Hati saya menjadi bercelaru dan berada dalam dilema kerana jika Islam itu agama tidak elok kenapa begitu ramai penganutnya di seluruh dunia dan setiap sesuatu yang mempunyai kaitan dengan Nabi Muhammad juga menjadi ikutan utama dan tempat rujukan semua penganut agama Islam sehingga kini,” katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Mohd. Khairi memutuskan untuk membuka lembaran baru dalam hidupnya dengan melafazkan dua kalimah syahadah pada 3 Februari 1992, pada usia 29 tahun di hadapan kadi Pahang semasa berpangkat Kapten dan berkhidmat di Kuantan, Pahang.

“Kira-kira empat tahun sebelum itu, semasa perasaan was-was terhadap agama yang saya anuti sebelum ini timbul, saya mulai mengkaji secara mendalam secara perbandingan antara semua agama lain termasuk membaca pelbagai genre buku mengenai Islam.

“Semakin mengkaji, kebenaran mengenai agama Islam terus menonjol apabila semua perbuatan ibadah dan kemusykilan tauhidnya walaupun kecil dapat dijawab dengan menyeluruh dan lengkap,” jelasnya.

Mohd. Khairi berkata, kajian mendalam mendapati agama Islam langsung tidak mempunyai cacat cela malah ia mencakupi setiap cabang kehidupan manusia daripada mula ditiupkan roh hingga mati sebelum dibangkitkan semula pada Hari Pembalasan.

“Keburukan yang dimomokkan berpunca akibat kelemahan penganutnya kerana tidak berpegang kepada ajaran sebenar Islam yang diajar oleh al-Quran dan hadis,” katanya.

Mohd. Khairi bertemu jodoh dengan Siti Fatihah Sidek, 44, seorang guru pada 25 Mei 1997 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Siti Nabilah yang kini berusia sembilan tahun.

Menceritakan kembali saat selepas pengislamannya, beliau berkata, perkara itu disorokkan selama tiga tahun sebelum ibu bapa dan adik-beradiknya akhirnya menerima dengan baik pengislamannya itu.

“Saya masih pulang ke rumah keluarga tetapi cuba mengelak menjamah makanan tidak halal yang dimasak oleh ibu. Saya akan cari pelbagai alasan, antaranya sudah makan semasa di tempat kerja, nak keluar jumpa kawan hingga menyebabkan ibu terperasan sesuatu telah terjadi kepada saya,” katanya.

Kata beliau, ketika ibunya mengetahui mengenai pengislamannya itu, hatinya amat sedih dan kecewa kerana baginya apabila memeluk Islam bermakna menjadi Melayu dan segala hubungan kekeluargaan akan terputus.

Akhirnya, berkat doa yang tidak pernah putus-putus dan akhlak menghormati orang tua telah menyejukkan hati mereka sehingga dapat menerimanya.

“Selama itu, walaupun mereka tidak senang dengan saya tetapi saya tetap menziarahi mereka termasuk semasa perayaan dan majlis keramaian, malah saya juga membawa isteri dan anak saya menziarahi mereka.

“Islam mengajar kita menjadi manusia berguna dan setiap ibu hanya inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka dan mereka tidak akan sanggup melihat darah daging mereka menjadi jahat,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Khairi juga mempunyai kecintaan yang tinggi terhadap ilmu apabila memperuntukkan kira-kira RM500 sebulan untuk membeli pelbagai genre buku ilmiah termasuk mengenai Islam hasil karangan ulama muktabar.

Beliau yang amat mementingkan disiplin hasil asuhan tentera juga mempunyai pelbagai pengalaman menarik seperti menyaksikan sendiri pembunuhan etnik Islam yang berlaku di Bosnia Herzegovina semasa bertugas di negara Balkan itu selama enam bulan pada tahun 1996.


http://www.utusan.com.my/utusan/
content.asp?y=2007&dt=1122&pub
=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Wednesday, November 21, 2007

Video 23 Minit- Umat Islam Kulit Putih di Texas USA

Penduduk negara China lebih awal memeluk agama Islam berbanding penduduk Malaysia dan Indonesia. Dan kini jumlah umat Islam di China adalah lebih ramai daripada jumlah penduduk negara Malaysia.

Penduduk negara India lebih awal memeluk agama Islam berbanding penduduk Malaysia dan Indonesia. Dan kini jumlah umat Islam di India adalah lebih ramai daripada jumlah penduduk negara Malaysia.

Dewasa ini banyak sekali orang-orang kulit putih di Amerika dan Eropah memeluk agama Islam. Kalai ini kita lihat bagaiman kehidupan umat Islam kulit putih di Texas, USA.

Dipersilakan ke:

http://www.turntoislam.com/forum/showthread.php?t=13

HIJAB di Seluruh Dunia