Wednesday, May 14, 2008

Belia India Muslim di Malaysia

Oleh: MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK


MOHAMED Kathir Ali menyampaikan cenderamata kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Mohd. Zin di Majlis Tilawah al-Quran, Nasyid, Azan dan Kuiz peringkat kebangsaan anjuran Persatuan Pergerakan Belia India Muslim.

Masyarakat India Muslim telah bertapak di negara ini sejak 1780. Pada awalnya, kedatangan mereka ke Tanah Melayu untuk tujuan berniaga dan menyebarkan ajaran Islam di Malaysia.

Masyarakat India Muslim turut berperanan dalam membangunkan ekonomi Tanah Melayu melalui bidang perniagaan seperti pengurusan restoran, barang kemas, tekstil, agensi pelancongan, perniagaan runcit dan sebagainya.

Kehidupan masyarakat India Muslim di Malaysia membolehkan golongan ini mengenali budaya dan adab masyarakat melayu tempatan.

Kini generasi masyarakat India Muslim semakin berkembang di tanah air ini, Justeru dengan perkembangan ini maka tertubuhnya idea untuk menubuhkan Persatuan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) sekitar awal tahun 1995. Setelah beberapa kali berbincang, merancang serta mengatur strategi akhirnya wujudlah Gepima yang didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara rasmi pada tahun 2006.

Gepima diberi mandat menjalankan aktiviti-aktiviti memupuk semangat di kalangan belia khususnya dalam membantu masyarakat India Muslim umumnya.

Gepima mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan jabatan-jabatan kerajaan.

Kini penaungnya ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin manakala penasihatnya ialah Datuk Dr. Mohd Iqbal dan Hishamudin Ubaidulla.

Presiden Kebangsaan Gepima, Mohamed Kathir Ali berkata, persatuan itu ditubuhkan untuk berganding bahu dalam usaha menangani masalah sosial di kalangan belia-belia India Muslim.

“Pihak kami juga bukan memfokuskan golongan ini sahaja tetapi meliputi semua bangsa yang kami yakin untuk menghulurkan bantuan dan tenaga kepada mereka yang memerlukan.

“Usaha ini merupakan pemangkin dalam menyatu padu semua masyarakat Islam di negara ini agar saling hormat-menghormati sesama dengan mereka dalam membangunkan negara, bangsa dan agama,” katanya pada ketika ditemui di pejabatnya, di Damai Kompleks, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, Gepima turut berperanan memberi ilmu pendidikan rohani dan jasmani yang melibatkan semua peringkat belia India Muslim dengan penganjuran aktiviti pengajian, latihan dan bimbingan seperti pendidikan, kebudayaan, falsafah dan teknologi.

Kata beliau, Gepima adalah pencetus hasrat kerajaan dalam usaha untuk bergerak ke arah kehidupan yang sempurna berasaskan sifat-sifat hormat diri, berdikari, berdisiplin dan bertanggungjawab dalam melahirkan satu bangsa yang bersatu, berilmu, beriman dan berdaulat.

“Di antara matlamat kami buat masa ini adalah memperbanyakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti mengadakan kelas bimbingan Bahasa Inggeris dan komputer untuk para belia India Muslim,” jelasnya.

Program lain yang turut diatur ialah bantuan kepada keluarga fakir miskin, warga emas, anak-anak yatim, sumbangan pelajar cemerlang peperiksaan, menganjurkan majlis tilawah al-Quran, azan, nasyid, kuiz, ceramah agama, program motivasi, program kutipan derma dan majlis kesihatan.

Gepima juga turut menyediakan beberapa Pusat Khidmat Sosial dalam memberi nasihat serta bimbingan kepada belia yang berminat untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

Tambah Mohamed, dalam beberapa tahun ini pihaknya mensasarkan untuk mendirikan sebuah bangunan wisma Gepima dalam usaha mempertingkatkan segala kemudahan untuk aktiviti seperti dewan serbaguna, surau, bilik kuliah, tempat riadah, penginapan dan pejabat perniagaan untuk disewa bagi tujuan untuk memperolehi pendapatan untuk membantu para belia dan beliawanis.

Katanya, rancangan jangka panjang Gepima dalam membantu menangani masalah belia dan remaja merupakan agenda utama persatuan itu. “Bukan setakat mereka kami bela, tetapi juga memulih dan mengembalikan akidah dan nilai Islam para belia India Muslim dan belia-belia lain yang telah rosak akhlak serta moral mereka.” jelasnya.

Sementara itu, Gepima mengalukan-alukan sumbangan orang ramai, syarikat, agensi kerajaan serta swasta untuk membantu dana persatuan itu.

Sumbangan boleh dibuat atas nama Bank Islam Malaysia Berhad melalui akaun Pergerakan Belia India Muslim Malaysia 14014010114315.

Maklumat lanjut boleh menghubungi talian 012-3136250 atau melayari laman web www.gepima.org.com.my.

sumber

1 comment:

Didik Wahyudi said...

semoga Islam di dunia lebih bersatu. Khususnya di Indonesia dan Malaysia. kalo di Indonesia Islam masuk pada abad ke-7 Masehi yang dibawa oleh saudagar dari Gujarat